FATIMAH dan cucunya menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran (kanan) sambil disaksikan Murad Jailani di Blok 52, Taman Cendana, Pasir Gudang. FOTO  Mary Victoria Dass.
FATIMAH dan cucunya menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran (kanan) sambil disaksikan Murad Jailani di Blok 52, Taman Cendana, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Kami bersyukur atas keprihatinan ramai yang tampil membantu. Saya yakin setiap kejadian ada hikmahnya," kata seorang wanita mualaf, Fatimah, 57, yang sebelum ini tampil memohon maaf atas perbuatan cucu mencalar kereta jiran.

Fatimah berkata, perbuatan itu pada awalnya dikecam namun ramai yang mula bersimpati dengan nasib kurang bernasib baik cucu perempuannya itu selepas mengetahui situasi sebenar.

Menurutnya, dia juga tidak sangka selain guru sekolah dan jiran, beberapa pihak yang turut tampil ke rumah mereka bagi mendapatkan gambaran jelas serta menyatakan niat untuk membantu.

"Kami terharu kerana ramai yang mengambil berat soal Bavani dan masa depannya serta menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh.

"Bavani kelihatan ceria berbanding sebelum ini dan kami sekeluarga amat terharu dengan keprihatinan ramai.

"Saya yakin selepas ini Bavani tidak akan mengulangi perbuatannya," katanya.

Fatimah berkata, keluarganya juga bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengesyorkan kanak-kanak itu supaya menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Ia bagi mengenal pasti sama ada Bavani memiliki masalah pembelajaran. JKM juga menasihati kami supaya menitikberatkan soal penjagaan dan memantau Bavani," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang, Murad Jailani di Blok 52, Taman Cendana, Pasir Gudang di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barangan sekolah dan barangan dapur.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, pihaknya membuat lawatan ke rumah kanak-kanak berkenaan pada 21 Februari lalu.

Menurutnya, hasil lawatan mendapati nenek kanak-kanak berkenaan tidak bekerja dan adalah penerima bantuan am JKM RM300 sebulan sejak 2019.

"Wanita berkenaan mempunyai penyakit kecing manis, darah tinggi, jantung dan sakit kaki serta merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) fizikal.

"Pelindung kanak-kanak mendapatinya agak lemah dalam pelajaran dan bercadang untuk membuat lawatan ke sekolah kanak-kanak bagi mendapatkan maklumat prestasi akademiknya.

"Pelindung kanak-kanak bercadang untuk merujuk keluarga berkenaan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk mendapatkan apa-apa bantuan sesuai.

"Malah permohonan kad OKU juga dicadangkan kepada kanak-kanak sekiranya hasil pemeriksaan doktor mengesahkan kanak-kanak sebagai OKU Masalah Pembelajaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 21 Februari lalu, akhbar ini melaporkan seorang nenek memohon maaf terhadap jiran atas perbuatan cucu yang tular di media sosial dan harap dia tidak dikecam lagi.

Wanita mualaf yang mahu dikenali sebagai Fatimah tidak menolak kemungkinan cucu perempuan berusia lapan tahun itu kesunyian dan tertekan dengan permasalahan keluarga hingga berbuat demikian.

Dia hanya menyedari perbuatan cucunya dikenali sebagai Bavani selepas ia tular di laman TikTok Sabtu lalu.

Katanya, dia yakin perbuatan Bavani mencalar kereta jiran yang diletakkan di parkir bawah flat mahupun mengambil dan membuang penyepit milik jiran adalah sesuatu tabiat baharu.

Bapa Bavani yang juga seorang mualaf terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak kebelakangan ini hingga kanak-kanak itu kurang perhatian manakala keluarga terputus hubungan dengan ibu kandung Bavani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 2:46 PM