Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dalam usaha mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan lima beradik di Kampung Pulau, Kubang Terap, di Pasir Mas, diletakkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

Pengarahnya, Said Sidup berkata, hasil siasatan dilakukan pihaknya mendapati individu paling sesuai untuk menjaga mereka berlima ialah seorang wanita yang juga saudara terdekat (emak sepupu) yang tinggal berdekatan kediaman mereka.

Katanya, keputusan itu diambil atas faktor tertentu berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya demi memastikan lima beradik berkenaan di bawah jagaan terbaik.

"Berapa lama tempoh hak penjagaan terbabit bergantung kepada keputusan mahkamah, manakala Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM900 sebulan akan disalurkan melalui OYLS yang menjaga mereka.

"JKM akan memantau dari semasa ke semasa keadaan lima beradik ini selain mendapatkan bantuan bahagian pelindung dan kaunseling untuk memastikan anak ini berada dalam keadaan fizikal baik dengan emosi stabil.

"Selain itu, kami berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, untuk membenarkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan abangnya berusia 12 tahun bersekolah berdekatan dengan rumah mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan kisah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang terpaksa menjaga tiga adiknya berusia setahun sehingga enam tahun, dibantu abangnya berusia 12 tahun di rumah serba daif selepas ibu bapa mereka ditangkap akibat penyalahgunaan dadah.

Mengulas lanjut, Said berkata, JKM turut menerima kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk daripada Masjid Bandar Pasir Mas yang sudi menyumbangkan bakul keperluan makanan pada setiap bulan kepada adik beradik berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, mereka mendapat kerjasama daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang turut menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada keluarga berkenaan.

"Pegawai psikologi daripada JKM turut memberitahu hasil temubual bersama dua kanak-kanak itu mendapati mereka benar-benar ingin ke sekolah dan belajar seperti rakan seusianya lain.

"JKM tidak akan lepas tangan sebaliknya memastikan lima beradik ini sentiasa di bawah jagaan terbaik dan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa," katanya.

Berita berkaitan

'JKM bantu lima beradik'

'Jangan pisahkan kami' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:25 PM