NORFADILAH (kanan) menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada Noor Arlina yang menghidap penyakit Crohn’s sejak 2019 ketika ditemui di rumahnya di Felda Lui Selatan 1, Bahau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA.
NORFADILAH (kanan) menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada Noor Arlina yang menghidap penyakit Crohn’s sejak 2019 ketika ditemui di rumahnya di Felda Lui Selatan 1, Bahau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA.
Mohd Khidir Zakaria


Bahau: " Seorang wanita malang memerlukan wang RM50,000 bagi menampung kos suntikan ubat selama setahun sekaligus menyelamatkan nyawanya.

Wanita terbabit, Noor Arlina Mohd Rifin, 36, kini hanya mampu terbaring akibat mengidap penyakit diberi mana penyakit Crohn's sejak 2019.

Penyakit itu menyebabkan sel dalam badannya berlawan sesama sendiri dan dia perlu menerima suntikan humira (Adalimumad) supaya penyakit ini dapat dikawal dengan baik, sekali gus mengelak pembedahan usus.

Ketika ini dia hanya bergantung harap kepada dua adik ipar perempuan untuk menjaganya di rumah peninggalan kedua ibu bapa yang sudah meninggal dunia di Felda Lui Selatan 1.

"Saya tidak bekerja sejak tahun 2008 lagi kerana menjaga arwah ibu yang meninggal dunia tiga tahun selepas itu manakala ayah dipanggil Ilahi pada tahun 1997. Sebelum ini saya pernah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor," katanya.

Menurutnya, dia memerlukan kos sebanyak RM55,840 untuk 12 bulan sedangkan pihak Baitulmal hanya dapat membantu sebanyak RM5,000 sahaja.

"Saya sudah lama tidak bekerja, hanya bergantung kepada pendapatan hasil ladang sawit peninggalan orang tua sekitar RM800 sebulan.

"Jumlah itu hanya cukup untuk perbelanjaan dapur dan membeli lampin pakai buang sahaja. Jumlah wang diperlukan itu jauh dari kemampuan saya tidak termasuk kos membuat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Rawatan ini juga menyebabkan saya turut mengalami penyakit radang usus dan kulit sehingga hampir seluruh tubuh ditumbuhi kudis seperti penyakit demam campak dan luka yang teruk di kaki kanan sehingga hampir dipotong," katanya yang masih belum berkahwin.

"Derma kilat kutipan warga Felda Lui Selatan 1 turut dilakukan namun ia jauh dari jumlah sasaran," katanya seperi menerima lawatan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9).

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan memanjangkan masalah Noor Arlina kepada pihak yang mahu membantu.

"Bagi sesiapa yang mahu meringankan beban pesakit ini bolehlah terus ke akaun Maybank 155126940244 atas nama Noor Arlina Mohd Rifin, atau hubungi 019-6533320," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:24 PM