Kamal Ariffin Jusoh
Kamal Ariffin Jusoh
BERNAMA

Kuantan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang tekong bot warga Thailand, Mat Rifin Awang Kecik yang dilaporkan hilang di perairan Kuala Pahang di Pekan, dekat sini pada 3 Ogos lalu ditamatkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata operasi ditamatkan pada 7 malam semalam, memandangkan operasi yang bermula Sabtu lepas itu tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

"Bagaimanapun, pihak kami akan melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Kamal Ariffin mengesahkan kehilangan Mat Rifin, 66, selepas bot nelayan tempatan dinaikinya karam dipercayai akibat dipukul ombak pada kedudukan 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang kira-kira 2 pagi, 3 Ogos lalu.

Namun, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai kejadian pada petang Sabtu, oleh dua lagi kru bot nelayan itu yang diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan, selepas mereka hanyut 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

Dua kru itu Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, kedua-dua juga warga Thailand, mendakwa mereka berpaut pada tong minyak selepas bot itu karam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 12:52 PM