Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin ketika melakukan tinjauan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, pagi tadi. FOTO Facebook Datuk Dr Radzi Jidin
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin ketika melakukan tinjauan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, pagi tadi. FOTO Facebook Datuk Dr Radzi Jidin
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Komitmen sekolah dan pelajar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam suasana pembudayaan norma baharu pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, hari ini amat memuaskan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin ketika melakukan tinjauan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, pagi tadi memuji kesungguhan semua pihak bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kesihatan warga sekolah khususnya pelajar.

"Alhamdulillah, jika kita lihat dari awal murid masuk ke sekolah, segala SOP dipatuhi dengan baik.

"Dalam dewan peperiksaan, jarak murid juga agak jauh, jika tahun sebelum ini jaraknya 0.8 meter tetapi tahun ini, 1.5 meter. Ada juga sekolah yang menjarakkan (meja) lebih jauh," katanya dalam Buletin Pagi disiarkan di TV3, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Datuk Phkaruddin Ghazali.

Radzi berkata, kemudahan lain yang disediakan sekolah termasuk bilik alternatif dan bilik isolasi juga selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kita doakan peperiksaan hari ini dan (hari) yang berikutnya (berjalan) lancar," katanya.

Radzi yang tiba seawal 7 pagi sempat menyambut kehadiran pelajar di pintu pagar sekolah, melawat dewan peperiksaan dan memberikan kata-kata semangat kepada calon sebelum peperiksaan bermula.

Sementara itu, Pengetua SMKSI Ruslan Abdol berkata, pihak sekolah melakukan persediaan rapi dan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan SOP dan semua keperluan pelajar dapat disediakan.

"Calon SPM di sekolah ini agak ramai iaitu 518 orang dengan lebih 40 bilik darjah digunakan sebagai dewan peperiksaan.

"Pihak sekolah juga mengikut SOP ditetapkan KPM dengan menempatkan cuma 12 pelajar bagi satu kelas.

"Bagi memantau pelajar di setiap bilik darjah, kira-kira 60 guru ditugaskan secara bergilir-gilir bagi memantau setiap kelas, membantu untuk uruskan makan minum dan memantau termasuk di surau bagi menunaikan solat," katanya.

Katanya, PIBG sekolah itu turut bermurah hati menyumbangkan makanan secara percuma sepanjang calon menduduki SPM dan guru ditugaskan bagi melakukan agihan makanan.

Pada hari ini, seramai 401,105 calon SPM menduduki peperiksaan bagi Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula 8 pagi tadi, manakala Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2 petang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:07 PM