Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seramai 17,906 daripada 18,743 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri ini memulakan sesi persekolahan 2021, hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, 837 calon peperiksaan itu pula adalah calon persendirian.

Katanya, turut memulakan persekolahan adalah 9,435 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), 203 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 362 calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

"Pengetua sekolah diminta sentiasa memberi kefahaman mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu kepada semua pelajar termasuk ibu bapa.

PELAJAR tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Razali Ismail menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki pekarangan sekolah. FOTO Ghazali Kori.
PELAJAR tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Razali Ismail menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki pekarangan sekolah. FOTO Ghazali Kori.

"Sekiranya ada kes positif Covid-19, ia boleh menjejaskan sesi pembelajaran bersemuka ini selain keseluruhan sekolah," katanya yang ditemui selepas melakukan pemantauan kehadiran calon SPM pada hari pertama persekolahan 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail di sini.

Mengiringinya, Pengetua SMK Datuk Razali Ismail, Sabariah Abd Mubin.

Terdahulu, pelajar menjalani SOP ditetapkan iaitu pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka sebelum dibenarkan memasuki sekolah, dengan pergerakan mereka diawasi guru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:23 AM