GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Pasir Mas: Pihak berkuasa negara ini percaya empat rakyat Malaysia yang ditahan di Takbai, selatan Thailand pada Rabu lalu memasuki negara itu melalui 'laluan tikus' di sepanjang tebing Sungai Golok di sini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata susulan itu, rancangan penambahan kawat duri di beberapa lagi lokasi di sempadan Malaysia-Thailand dilihat amat bertepatan.

Beliau berkata, pemasangan kawat duri oleh pihak berkuasa di kawasan khas dan laluan tikus yang sentiasa digunakan penyeludup diharap mampu mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram.

"Sekiranya kita mahu memastikan perkara itu tidak berlaku, ia pasti amat sukar kerana kita kekurangan anggota untuk menjaga setiap inci sempadan.

"Namun dengan adanya kawat duri yang dipasang di lokasi tertentu dan dikenal pasti sebagai laluan tikus sedikit sebanyak pasti dapat mengurangkan kegiatan melintas sempadan," katanya kepada pemberita hari ini ketika mengulas penahanan keempat-empat lelaki pada 2.30 petang dalam satu sekatan jalan raya.

Difahamkan, kesemua individu yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an menyeberang Sungai Golok untuk ke Thailand menggunakan khidmat dua lelaki dari negara itu.

Mereka ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen ketika pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa Thailand.

Penahanan itu disahkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Fandi Abu Bakar.

Abdul Rahim juga berkata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam Op Benteng akan memastikan kegiatan menukar atau menghantar barang menggunakan tong plastik merentasi Sungai Golok dihentikan segera.

"Polis akan mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan membuat penukaran barang terlarang seperti dadah menggunakan kaedah tersebut.

"Pihak PGA di bawah Briged Tenggara akan diarahkan untuk sentiasa memantau perbuatan itu supaya tiada mana-mana pihak melakukan kaedah yang sama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:00 PM