ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor memeriksa laluan tikus dan lokasi panas di sepanjang pangkalan haram dipercayai digunakan oleh penyeludup atau PATI untuk merentas sempadan dan menceroboh masuk sebelum perlaksanaan PKP sempena Op Benteng di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor memeriksa laluan tikus dan lokasi panas di sepanjang pangkalan haram dipercayai digunakan oleh penyeludup atau PATI untuk merentas sempadan dan menceroboh masuk sebelum perlaksanaan PKP sempena Op Benteng di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEBANYAK 58 laluan tikus dan lokasi panas yang dikenal pasti terdapat di sepanjang pangkalan haram bermula dari Kuala Tak Bhai, di Tumpat sehingga Kubang Pak Itam, Pasir Mas.

Laluan tikus itu dipercayai digunakan oleh penyeludup atau pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk merentas sempadan dan menceroboh masuk ke negara ini sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pemerintah, Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, bagaimanapun sejak PKP dilaksanakan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebarang aktiviti rentas sempadan tidak berlaku.

"Namun begitu, anggota kami sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan sepanjang 24 jam di laluan tikus dan lokasi panas itu kerana dikhuatiri berlaku aktiviti rentas sempadan.

"Setakat ini, tiada sebarang aktiviti rentas sempadan berlaku sebaliknya terdapat beberapa cubaan menyeludup dikesan namun dengan risikan yang dibuat anggota kami, kegiatan itu berjaya digagalkan," katanya kepada pemberita di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di Tumpat, petang semalam.

Mohd Rudzuan berkata dalam penugasan sempena Op Benteng, dua pasukan pemantauan ditubuhkan di bawah PPM membabitkan 25 anggota dan dua pegawai dengan penambahan dua bot ronda.

Katanya lagi, ia membabitkan dua kawasan tanggungjawab iaitu perairan Sungai Golok ke Kuala Besar (Kota Bharu) dan Kuala Besar ke Tok Bali (Pasir Puteh).

"Tujuannya adalah untuk mengekang kemasukan PATI dari negara jiran bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

"Penugasan dilakukan 24 jam dengan empat hingga lima anggota bertugas dalam satu-satu masa membabitkan daratan, pesisir sungai dan pantai serta perairan Sungai Golok," katanya selepas melakukan tinjauan sempena Op Benteng di Sungai Golok.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa negara jiran terutama Polis Diraja Thailand.

Menurutnya lagi, rondaan bersama kerap dibuat bagi menjaga sempadan perairan kedua negara dari diceroboh PATI sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

"Seperti kita, pihak berkuasa Thailand juga tegas dalam menjalankan penugasan dan memperketatkan kawalan sepanjang Sungai Golok, malah kami sentiasa mengadakan pertukaran maklumat bagi melancarkan skop tugasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 9:54 AM