RAMPASAN rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran di sempadan Malasia-Thailand bernilai lebih RM1.4 juta ditemui di Chabang Empat Tok Mek Ngah.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMPASAN rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran di sempadan Malasia-Thailand bernilai lebih RM1.4 juta ditemui di Chabang Empat Tok Mek Ngah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Pihak berkuasa mengesan pertambahan 40 lorong tikus baharu yang dibuka penyeludup sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, sejak Ops Benteng Covid-19 dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula Mac lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, ia berlaku rentetan kawalan ketat dilakukan anggota di 88 pangkalan sedia ada, termasuk yang dipasang kawat dawai di beberapa kawasan panas.

Katanya, setakat ini, jumlah keseluruhan pangkalan haram ialah 128 membabitkan 51 di Sektor Rantau Panjang, 27 di Sektor Jeram Perdah dan 51 di Sektor Kuala Jambu, Tumpat.

"Penyeludup membuka kawasan baru di sebalik semak samun dengan sesetengah daripadanya tidak boleh dilalui kenderaan semata-mata bagi memastikan aktiviti penyeludupan mereka dapat diteruskan.

"Bagaimanapun, PGA tidak pernah leka malah dapat menjejaki pangkalan baru terbabit melalui risikan serta pemantauan yang dilakukan setiap hari.

"Taktik penyeludupan juga ditukar dengan menyediakan beberapa lokasi transit sebelum barangan seludup diangkut menaiki kenderaan memandangkan lorong tikus yang baru, biasanya di dalam semak tebal, hanya boleh dilalui pejalan kaki," katanya.

Ku Majidin ditemui pada sidang media rampasan rokok seludup di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA di sini, hari ini.

"Kesemua lorong tikus ini dibuka di kawasan yang jauh daripada penempatan penduduk bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dengan jarak dari tebing Sungai Golok hanya sejauh kira-kira 20 meter sahaja.

"PGA tidak memandang remeh perkara ini dan akan terus membuat rondaan.

"Isu penyeludupan di sini bagai tiada kesudahan kerana ia adalah kegiatan 'turun-temurun' tetapi kawalan terus dilaksanakan kerana ia salah di sisi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 4:37 PM