Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia berkemungkinan menerima lebih banyak panggilan kecemasan berkaitan cuaca panas yang melanda berikutan fasa akhir Monsun Timur Laut.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, cuaca ini boleh menyebabkan berlakunya strok haba jika individu terdedah pada panas terik dan suhu badan melebihi 40.5 darjah Celsius.

"Antara tanda-tanda berlakunya strok haba termasuklah kepala sakit berdenyut, mual atau loya, otot badan kejang, badan kering dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan muntah, sawan dan pitam," katanya ketika ditemui di pejabat APM Anak Bukit, di sini hari ini.

Mohd Muaz berkata, antara langkah yang perlu diambil apabila mangsa mengalami strok haba adalah membawa mereka ke tempat redup, menanggalkan pakaian dan lap seluruh badan serta muka dengan kain basah supaya badan sejuk.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan sebelum anggotanya tiba untuk memberi bantuan kepada pesakit berkenaan.

Mohd Muaz turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah dengan panas matahari terik.

Selain itu, beliau berkata, cuaca panas ini juga mengundang kehadiran haiwan berbisa seperti ular untuk keluar dari habitat.

Beliau berkata, tiga daerah di negeri ini iaitu Kota Setar, Padang Terap dan Kuala Muda menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan ular sejak Januari lalu akibat cuaca panas.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati kerana ular biasanya suka berlindung di dalam tandas, bilik tidur, bawah dapur dan alang kayu serta bawah katil," katanya.

ANGGOTA APM menerima banyak panggilan kecemasan terutamanya berkaitan ular ketika cuaca panas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM menerima banyak panggilan kecemasan terutamanya berkaitan ular ketika cuaca panas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 1:14 PM