Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini boleh mengundang bahaya strok haba jika terdedah terlalu lama di kawasan panas.

Pengarah Kesihatan Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti di bawah panas terik matahari untuk mengelak risiko seperti itu.

Menurutnya, ketika ini waktu antara 1 tengah hari hingga 4 petang mengundang tahap kepanasan paling tinggi di negeri itu.

"Sehubungan itu, kita minta orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti misalnya bersukan di bawah cahaya matahari yang terik terutamanya pada waktu suhu panas.

"Kita juga berharap orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di luar termasuk petani supaya menunggu sehingga suhu lebih rendah ataupun melakukan pada sebelah pagi atau malam," katanya di sini, hari ini.

Othman berkata, cuaca panas yang berlarutan juga boleh mengundang sakit kepala dan demam.

Menurutnya, orang ramai juga digalakkan meminum air kosong yang banyak bagi mengelakkan serangan strok haba.

DR Othman Warijo (kanan) bersama sebahagian kanak-kanak yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DR Othman Warijo (kanan) bersama sebahagian kanak-kanak yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Sebelum ini, Pengarah Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, cuaca panas yang melanda negeri itu sejak awal tahun ini dijangka berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April hadapan.

Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu secara amnya negeri di bahagian utara Semenanjung akan mengalami cuaca kering.

Suhu panas ini juga dijangka boleh mencecah sehingga 36 darjah Celsius pada Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 2:59 PM