TERLALU lama terdedah kepada cahaya matahari.
TERLALU lama terdedah kepada cahaya matahari.
Nurul Husna Mahmud

Dalam cuaca panas dan kering seperti sekarang, semua orang dinasihat mengurangkan aktiviti luar.

Elak mendedahkan diri kepada cahaya matahari keterlaluan yang boleh menyebabkan strok haba.

Bagi kaki bersenam, pilih waktu lebih sejuk seperti awal pagi atau malam untuk melakukan aktiviti kecergasan.

Terdedah kepada sinaran matahari terik dan gelombang haba berterusan (lebih 40 darjah Celsius) boleh memberi kejutan kepada tubuh sehingga menyebabkan kegagalan pengawalan mekanisme penyejukan semula jadi tubuh.

Keadaan itu menyebabkan tubuh memberi reaksi tertentu termasuk pening, pitam diiringi muntah dan sebagainya yang merujuk ia sebagai serangan strok haba.

Selain cuaca panas terik, individu yang tidak sedar badannya kekurangan air sangat berisiko untuk mengalami strok haba.

Andainya berlarutan, ia boleh mendatangkan risiko tinggi bagi kanak-kanak dan bayi, warga emas, pesakit kronik serta individu yang sakit sehingga memberi ancaman komplikasi lebih serius seperti kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang, hati, pembuluh darah dan kematian.

Orang dewasa berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding golongan muda.

Dalam cuaca panas ini jugalah ibu bapa perlu memantau pergerakan anak mereka.

Leka bermain menyebabkan kanak-kanak tidak menghiraukan cuaca panas sedangkan mereka yang berumur lima tahun ke bawah lebih berisiko untuk mengalami strok haba.

BOLEH menyebabkan kerosakan pada organ tertentu.
BOLEH menyebabkan kerosakan pada organ tertentu.

Dalam kalangan orang dewasa, strok haba sering terjadi apabila terdedah kepada persekitaran terbuka dalam jangka masa lama seperti pekerja binaan, tentera, atlet trek dan sebagainya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik anda menambah ilmu mengenai gejala awal strok haba sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Pada masa sama, luangkan masa mempelajari apa yang boleh membantu individu mengalami strok haba kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja termasuk insan terdekat.

Antara gejala strok haba

• Badan letih dan lemah.

• Rasa pening atau sakit kepala.

• Rasa mual, loya dan muntah.

• Peluh keterlaluan atau tidak langsung berpeluh dalam cuaca terik atau suhu persekitaran tinggi.

• Kekejangan otot.

• Nadi menjadi laju dan dada akan ketat.

• Mengalami hipotensi atau tekanan darah rendah.

• Pitam atau pengsan.

• Tekak kering dan rasa dahaga keterlaluan.

• Jarang membuang air kecil atau warna urin gelap berbanding biasa.

Jika mengalami gejala di atas, lakukan tip di bawah dalam menangani strok haba

• Beralih ke kawasan lebih sejuk, berangin dan jauh daripada sinaran matahari.

• Longgarkan pakaian untuk memberi ruang supaya kulit boleh ‘bernafas’ dalam usaha menurunkan suhu badan ke paras normal.

• Turunkan suhu badan dengan mengelap muka atau badan menggunakan tuala lembap, mandi, berendam dalam air sejuk atau meletakkan pek sejuk di celah ketiak. Anda juga boleh duduk di bawah atau hadapan kipas.

• Minum air sejuk perlahan-lahan. Anda juga boleh kemam ketulan ais untuk menambah cecair dalam badan.

• Jika gejala masih belum pulih dan makin teruk, dapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berhampiran.

LANGKAH menangani serangan strok haba segera.
LANGKAH menangani serangan strok haba segera.

Sebaik menyedari perubahan ketara suhu persekitaran tinggi, ambil langkah pencegahan bagi mengelak serangan strok haba

• Elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas terutama di waktu puncak jam 11 pagi hingga 3 petang. Banyakkan minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam walaupun anda tidak berasa dahaga.

• Minum air dalam kuantiti banyak atau minimum 2.5 liter sehari. Banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi air seperti sup dan buah-buahan.

• Pakai pakaian yang diperbuat daripada kapas kerana material itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum.

• Pakai topi daripada bahan kapas kerana lebih 40 peratus kehilangan haba berlaku di bahagian kepala.

• Elakkan berjalan atau melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti simen atau bitumen.

• Jangan berada di kawasan atau ruang tertutup mempunyai pengudaraan kurang baik dan bersuhu tinggi.

• Anda juga dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi. Minuman mengandungi kafein bersifat diuretik, yang akan membuatkan anda lebih banyak buang air kecil.

• Pantau warna urin atau air kencing anda. Jika warnanya gelap dan jumlahnya sedikit, ia menandakan badan anda kekurangan air. Jadi anda perlu minum sehingga air kencing bertukar menjadi kuning cair.

• Satu perkara penting, dalam cuaca panas begini, jangan sekali-kali meninggalkan seseorang di dalam kereta terutama yang diletakkan di kawasan parkir terbuka.

PERLUKAN tindakan pantas menangani serangan strok.
PERLUKAN tindakan pantas menangani serangan strok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:02 AM