Orang ramai berjalan menggunakan payung untuk berteduh dari cuaca panas terik.
Orang ramai berjalan menggunakan payung untuk berteduh dari cuaca panas terik.
Nurul Husna Mahmud


Fenomena ekuinoks yang menyaksikan jangka masa siang dan malam adalah sama berikutan kedudukan matahari tepat berada pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara dikatakan penyumbang kepada cuaca panas luar biasa pada Ramadan kali ini.

Malah dijangka suhu sekitar boleh mencecah 35 hingga 38 darjah Celsius apabila fenomena itu berlaku bermula 20 Mac lalu dengan ketiadaan awan menjadikan ramalan cuaca panas ini mungkin berterusan hingga April nanti.

Kebimbangan ramai orang ketika menghadapi cuaca panas melampau tatkala menjalani ibadah puasa ialah ancaman strok haba.

Menurut Pakar Perunding Kecemasan Sunway Medical Center, Dr Nur Elayni Borhan, kebimbangan itu adalah wajar kerana terdapat pelbagai komplikasi akibat terdedah cuaca panas yang ekstrim.

"Dalam menghadapi cuaca panas ekstrim tidak dinafikan strok haba atau 'heat stroke' antara perkara yang dibimbangi ramai.

"Apatah lagi ketika ini umat Islam menjalani ibadah puasa, mereka bimbang kesihatan akan terjejas akibat strok haba.

"Sedangkan spektrum efek kesihatan akibat cuaca panas lebih luas. Sebelum mereka mengalami strok haba, spektrum penyakit berkaitan haba biasanya bermula dengan kekejangan dan kelesuan haba.

"Disusuli dengan strok haba yang mewakili senario terburuk kesan terdedah kepada cuaca panas yang melampau kerana ia boleh membawa maut," katanya.

Kata Dr Nur Elayni, dalam memahami bahaya ancaman cuaca panas yang melampau, masyarakat umum perlu faham terlebih dahulu mekanisme semula jadi yang ada pada tubuh berperanan mengawal suhu badan.

"Cara badan lepaskan haba adalah menerusi perpeluhan. Dalam situasi sekarang yang mana orang ramai terdedah dengan cuaca panas, reaksi normal badan akan berpeluh untuk menyejukkan badan.

"Selain cecair dalam tubuh hilang akibat aktiviti berpeluh, elektrolit atau mineral dalam badan juga hilang.

"Kebiasaannya dalam menangani cecair yang hilang menerusi perpeluhan, individu terbabit akan minum. Tetapi cabaran untuk Ramadan, tidak boleh minum dan tubuh tidak dapat air mencukupi," katanya.

MINUMAN manis dan makanan tinggi garam boleh mengundang rasa dahaga keterlaluan ketika menjalani ibadah puasa. - FOTO Google
MINUMAN manis dan makanan tinggi garam boleh mengundang rasa dahaga keterlaluan ketika menjalani ibadah puasa. - FOTO Google

BASAHKAN tubuh untuk cepatkan penurunan suhu badan. - FOTO Google
BASAHKAN tubuh untuk cepatkan penurunan suhu badan. - FOTO Google

STROK haba boleh mengakibatkan kematian. - FOTO Google
STROK haba boleh mengakibatkan kematian. - FOTO Google

Tambah Dr Nur Elayni, individu terbabit akan mengalami dehidrasi dan seterusnya berpeluh dengan teruk menandakan fasa kelesuan haba bermula.

"Individu terkesan akan rasa lesu, pening kepala, loya dan muntah. Perubahan dapat dilihat mereka menjadi pucat dan nadi berdenyut lebih cepat serta lemah. Ia menandakan individu mula terkesan dengan cuaca panas.

"Jika tiada rawatan diberikan keadaan lebih teruk dialami iaitu individu itu akan melalui fasa strok haba yang mana suhu badan mencecah 40 darjah Celsius.

"Ketika inilah peluh sudah mengering dan mekanisme membantu menyejukkan badan sudah tidak berfungsi lagi. Risiko pesakit semakin tinggi untuk koma atau kehilangan nyawa," katanya.

Kata Dr Nur Elayni, sebaiknya apabila individu mendapati gejala awal atau tanda dehidrasi, mereka perlu segera stabilkan suhu badan.

"Andai pesakit mula berasa pening dan peluh luar biasa, mereka perlu segera berteduh atau beralih ke tempat yang lebih sejuk udara persekitarannya.

"Kalau tidak pun pastikan kawasan atau ruang itu ada pengudaraan yang baik selain mempunyai kipas atau pendingin hawa bagi membantu menyejukkan badan," katanya.

Cara lain juga disarankan pakar itu adalah dengan basahkan tubuh untuk turunkan suhu badan pada kadar segera.

"Basahkan badan juga antara kaedah mudah selain basahkan bahagian tubuh tertentu seperti celah ketiak, kepala atau kelengkang.

"Bahagian tubuh terbabit sangat membantu dalam menstabilkan suhu badan apabila individu terkena serangan kelesuan haba atau strok haba," katanya.

Langkah penting juga hubungi talian kecemasan 999 ketika menghadapi situasi individu kelesuan haba dan strok haba. Ini dapat mengelak risiko kelewatan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Sempena Ramadan ini, pakar perunding kecemasan itu turut menasihati setiap individu lebih berhati-hati dalam pemilihan diet ketika berbuka puasa.

"Sebaiknya manfaatkan berbuka puasa dengan minum air secukupnya. Elak minum air manis dan mengandungi kafien kerana ia boleh menyebabkan individu lebih cepat dahaga.

"Begitu juga pemilihan sajian makanan, elak makanan tinggi garam dan bahan perasa kerana ia boleh menyebabkan individu itu mudah rasa dahaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 7:01 AM