Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 dua tahun lalu.

Tertuduh, Firdaus Khalid, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Firdaus didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas dengan meminta suapan untuk dirinya daripada Woo Kin Soon sebagai suatu dorongan menyediakan laporan judi yang negatif bersabit kertas siasatan pada 24 Jun 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam bela Mohamad Salihen Mastor.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 selain perlu melaporkan sebulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.

Bagaimanapun Mohamad Salihen memohon agar wang jaminan dikurangkan antara RM5,000 ke RM8,000 kerana anak guamnya memberi kerjasama yang baik selain perlu menanggung isteri dan tiga anak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 dan menetapkan 28 Mei hadapan sebagai sebutan semula kes.

PEGAWAI SPRM mengiringi tertuduh ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEGAWAI SPRM mengiringi tertuduh ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 11:30 AM