Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kontraktor yang juga seorang pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan kepada penjawat awam berhubung kerja pembaikan dan penyelenggaraan institusi kerajaan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Asdi Ali, 42, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Berdasarkan tiga pertuduhan yang dibacakan hari ini, dia didakwa secara rasuah memberi suapan berjumlah keseluruhan RM14,000 kepada Hairulnizam Sarudin, 44, iaitu seorang ejen Kerajaan Malaysia yang berkhidmat sebagai Penolong Jurutera JA29 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke akaun sebuah bank milik Hairulnizam.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk berbuat sesuatu berkaitan hal ehwal prinsipal Hairulnizam iaitu mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan bagi kerja pembaikan kerosakan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor selain kerja penyelenggaraan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor serta kerja pembaikan lapis kalis air di dua blok asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Ipoh Garden, Jalan Canning Estate di sini antara 6 hingga 20 Disember 2019.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibaca mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Asdi diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Foto Sharul Hafiz Zam
Asdi diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Foto Sharul Hafiz Zam

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Nazrin Sulaiman.

M Bakri kemudiannya membenarkan untuk kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut bersama kes lain sebelumnya selain menetapkan 26 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, M Bakri tidak membenarkan permohonan Nazrin yang meminta agar jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin diguna pakai, lalu menetapkan jaminan baharu iaitu RM8,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pada 21 Disember tahun lalu, Asdi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di Jabatan Kerja Raya (JKR), Hulu Selangor, pada Oktober 2020.

Lelaki itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad lalu atas satu lagi dakwaan cuba memberi rasuah RM10,000 kepada seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor untuk mendapatkan kerja-kerja mengganti dan menyelenggara jalan pada Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 11:17 AM