Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM8,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikul Athar Abdullah, 37, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Shaikhul Athar didakwa menerima suapan daripada Fan Kar Weng sebagai upah menutup kes yang disiasat oleh KPDNHEP pada 2014 bagi kesalahan menjual arak tiruan di dua premis di Jalan Sultan Iskandar Shah.

Shaikul Athar melakukan kesalahan itu di dalam Mercedes Benz di kawasan parkir restoran di Jalan Sultan Abdul Jalil pada jam 10.30 malam, 30 Mei 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan iaitu wang tunai RM8,000 daripada Kar Weng atas tujuan sama di Greentown pada jam 8.53 malam, 23 Mei 2017.

ANGGOTA polis mengiringi Shaikul Athar di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA polis mengiringi Shaikul Athar di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Nurul Wahida menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kepada tertuduh yang melakukan kesalahan.

Amirul Ridzuan bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkannya RM5,000 bagi setiap pertuduhan berikutan tertuduh tidak mampu kerana menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak berusia 4 dan 7 tahun.

Katanya, tertuduh juga baru saja dikejutkan dengan kematian bapanya semalam dan selain perlu menjaga ibu yang sudah uzur.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 4 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:18 PM