GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah semakin berkurangan dengan hanya 118 kes dilaporkan semalam, berbanding 124 kes, kelmarin.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, 75 kes atau 63.6 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat, diikuti saringan bergejala sebanyak 17 kes (14.4 peratus) dan 13 kes (11 peratus) melalui saringan kluster sedia.

Pada masa sama, katanya, bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital mengatasi kes baharu, membabitkan 266 individu.

Menurutnya, seramai 1,231 pesakit masih menerima rawatan iaitu 464 orang di hospital, 765 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

"Bilangan pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) pula ialah 66 orang, termasuk 20 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan di sini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, dua kematian dilaporkan semalam masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

"Secara kumulatif, Sabah mencatat 51,115 kes positif dan 48,974 pesakit sembuh," katanya.

Beliau berkata, jumlah daerah dikelaskan zon merah sudah berkurang kepada 17, manakala zon jingga dan kuning, masing-masing sebanyak lima daerah.

Daerah yang masih dalam zon merah ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar, Sipitang, Keningau, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Kalabakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 9:10 AM