Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatat kes baharu positif Covid-19 sebanyak 1,066 kes, iaitu yang tertinggi setakat Januari hingga Julai tahun ini.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 290 kes berbanding 776 kes semalam.

Katanya, kes melalui saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang tertinggi dengan sebanyak 640 kes atau 60 peratus daripada jumlah kes keseluruhan hari ini.

"Seperti biasa, saringan kontak rapat adalah penyumbang paling tinggi iaitu 640 kes (60 peratus) di mana daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah saringan kontak paling tinggi sebanyak 125 kes.

"Ini diikuti saringan bergejala yang mencatatkan 157 kes (14.7 peratus). Kluster sedia ada pula menambah 141 kes (13.2 peratus) manakala sarıngan bersasar merekodkan 19 kes (2.6 peratus," katanya dalam kenyataan media malam ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Katanya, sebanyak enam kematian berpunca daripada Covid-19 turut dilaporkan hari ini iaitu tiga di Beaufort dan masing-masing satu di Sandakan, Kudat serta Penampang, manakala 545 pesakit dilaporkan sembuh.

Kota Kinabalu kekal mencatat kes baharu tertinggi hari ini iaitu sebanyak 206 kes, diikuti Tawau (171), Beaufort (87), Penampang (82), Tuaran (79), Keningau (77), Beluran (64), Sipitang (43), Sandakan (42), Kalabakan (36), Tenom (28), Kota Belud (23), Putatan (20), Ranau (19), Papar (17), Tongod (16), Kudat (15) dan Kunak (11).

Selebihnya ialah Kinabatangan (sembilan), Lahad Datu (tujuh), Kota Marudu (lima), Kuala Penyu (lima), Semporna (tiga) dan Tambunan (satu).

Hanya Telupid, Nabawan dan Pitas tidak merekodkan sebarang kes baharu hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 daerah kekal berada dalam zon merah, diikuti satu daerah dalam zon jingga iaitu Pitas, manakala dua daerah dalam zon kuning iaitu Tambunan dan Nabawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:05 PM