GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Hanya tujuh daripada 27 daerah di Sabah masih berada dalam zon merah dengan Keningau mencatat jangkitan baharu Covid-19 tertinggi, iaitu 18 kes, semalam.

Daerah lain yang masih dalam zon merah setakat ini ialah Tawau dengan lapan kes, Kota Kinabalu (lima), Kalabakan (lima), Sandakan (dua) dan Nabawan (tiada kes baharu).

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sembilan daerah kini berada dalam zon jingga iaitu Kudat, Papar, Beluran, Kota belud, Penampang, Putatan, Kunak, Kinabatangan dan Lahad Datu.

"Sebanyak 10 daerah lagi berada dalam zon kuning, manakala satu daerah iaitu Tongod kekal dalam zon hijau. Hari ini (semalam) juga menyaksikan Lahad Datu bertukar daripada merah kepada jingga," katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan Sabah sekali lagi mencatat kes baharu Covid-19 yang rendah iaitu sebanyak 54 kes semalam dengan satu kematian direkodkan di Sipitang.

Bagi pesakit yang sembuh katanya, seramai 57 orang dibenarkan keluar hospital, manakala 585 orang masih menerima rawatan, masing-masing 210 orang di hospital dan 375 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Jumlah itu katanya mewakili 11.7 peratus penggunaan katil daripada 5,001 unit katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di seluruh Sabah pada masa ini.

"Daripada 54 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 39 kes atau 72.2 peratus dikesan menerusi saringan kontak rapat, diikuti enam kes bergejala, manakala hanya satu kes menerusi saringan kluster sedia ada," katanya.

Mengenai vaksin Covid-19, Masidi berkata seramai 2,501 orang menerima suntikan pertama semalam, menjadikan kumulatif individu yang sudah diberikan dos pertama vaksin di Sabah setakat ini seramai 16,566 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 8:24 AM