GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sembilan aduan berkaitan penjualan kelengkapan elektronik dan komunikasi sehingga semalam.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan itu diterima susulan pelaksanaan Op Catut 8.0 (kelengkapan elektronik dan komunikasi) yang bermula 25 Januari lalu hingga 7 Februari ini.

Menurutnya, pihaknya melakukan pemantauan maklumat harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit yang mempunyai permintaan tinggi melalui penguatkuasaan operasi.

"Sehingga semalam, sebanyak 306 premis diperiksa membabitkan 589 barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi.

"Hasil pemantauan itu, sebanyak 306 notis pengesahan maklumat barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut.

"Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen diperlukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azman berkata, peniaga yang gagal mematuhi akta itu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan dan RM50,000 bagi bukan pertubuhan atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan itu supaya peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenang khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

"Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan tegas mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011," katanya.

Katanya, peniaga diingatkan tidak melakukan pencatutan sehingga menyebabkan kenaikan harga kelengkapan elektronik yang menjadi peralatan pelajar bagi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Beliau turut menasihati pengguna supaya membuat perbandingan harga, memilih platform dalam talian yang boleh dipercayai dan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelak sebarang masalah di masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 7:45 PM