AZMAN. FOTO Arkib NSTP
AZMAN. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 180 notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) dikeluarkan terhadap 180 premis di seluruh negara yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi sejak 25 hingga 28 Januari lalu.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, pihaknya melakukan pemantauan maklumat harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit yang mempunyai permintaan tinggi melalui penguatkuasaan Op Catut 8.0 bermula Isnin lalu hingga 7 Februari nanti.

"Sehingga semalam, sebanyak 180 premis diperiksa meliputi 337 barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi dengan 180 NPMB mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga.

"Tindakan itu adalah untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan berkenaan bagi suatu tempoh dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut.

"Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen diperlukan, sekiranya gagal mematuhi notis itu, ia satu kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut akta sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,892 aduan berkaitan peralatan elektronik termasuk sembilan aduan baru-baru ini sejak 1 Januari lalu.

"Kami sentiasa memantau harga barangan keperluan ini supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya terutama ketika negara sedang dilanda pandemik.

"Mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan yang tegas mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga menasihatkan pengguna supaya membuat perbandingan harga, memilih platform dalam talian boleh dipercayai dan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelak masalah yang mungkin berlaku di masa hadapan.

"Harapan KPDNHEP adalah supaya peniaga tidak melakukan pencatutan sehingga menyebabkan kenaikan harga ke atas kelengkapan elektronik dan komunikasi yang menjadi peralatan pelajar bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pengguna juga diharap dapat menyalurkan aduan kepada KPDNHEP jika merasakan berlaku kenaikan harga melampau dan penipuan lain yang dibuat oleh mana-mana peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 4:58 PM