ANGGOTA KPDNHEP Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan terhadap prenis menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA KPDNHEP Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan terhadap prenis menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan lapan notis terhadap peniaga menjual kelengkapan elektronik serta komunikasi di ibu kota, kelmarin dan semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, pihaknya menerima aduan kenaikan harga kelengkapan elektronik seperti komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit berikutan peningkatan permintaan baru-baru ini.

Menurutnya, pemeriksaan bermula 25 Januari lalu hingga 5 Februari bertujuan memantau dan memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya serta mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Menentukan Keuntungan Tinggi Tidak Munasabah) 2018.

"Bertindak atas maklumat itu, Op Catut 8.0 terhadap dilakukan dan lapan premis yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan kami mengeluarkan sebanyak lapan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zubir berkata, notis yang dikeluarkan terhadap peniaga berkenaan adalah bagi membekalkan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan kepada pihaknya untuk dianalisis sama ada berlaku pengambilan keuntungan tidak munasabah atau tidak.

"Peniaga yang diberi notis berkenaan perlu membekalkan maklumat yang diperlukan itu kepada pihak KPDNHEP Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari.

"Jika siasatan mendapati peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah, tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Beliau berkata, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat atau pertubuhan pula boleh didenda sehingga RM500,000.

"Justeru itu, kami menasihatkan semua peniaga supaya mengamalkan perniagaan beretika dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

"Kami akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya membeli barangan secara berhemah, membuat pemilihan yang bijak dan membandingkan harga sebelum membuat pembelian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 4:50 PM