Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Tolong sampaikan pesanan kepada keluarga agar tidak bimbang, kami dijaga dengan sempurna pengurusan sekolah," kata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, dekat sini, sambil melambaikan tangan dari tingkap asrama sekolah, hari ini.

Calon SPM 2020 itu terpaksa menjalani proses kuarantin selama 14 hari mulai Khamis lalu selepas sekolah itu diarahkan tutup berikutan terdapat dua termasuk guru disahkan positif Covid-19.

Seramai 15 calon termasuk sembilan lelaki terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama selepas mereka tidak dibenarkan meninggalkan sekolah sepanjang tempoh dikuarantin.

"Terima kasih abang dan kakak atas kesudian menyumbangkan air mineral dan pelitup muka kepada kami.

"Keluarga tidak perlu bimbang akan kesihatan dan makan minum kami, semuanya diuruskan dengan baik dan sempurna pengurusan sekolah," kata beberapa pelajar perempuan melalui tingkap asrama.

Pelajar terbabit menyuarakan pesanan itu pada majlis penyampaian bantuan berupa air mineral dan pelitup muka sumbangan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamaed Aris dan Exco Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu, Norizah Mohamed @ Mohd Nor di perkarangan asrama SMK Bukit Besar, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, majlis penyampaian bantuan itu hanya diserahkan pegawai khas Najmil Faiz iaitu Azwan Nazzul Shahzairin Mohamad kepada pengawal keselamatan, Fairuddin Abdul Rahman, yang mewakili pengurusan SMK Bukit Besar, selepas semua guru dan kakitangan sekolah terpaksa menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing.

Semalam, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengarahkan SMK Bukit Besar ditutup selama 14 hari sehingga 10 Februari depan bagi membolehkan kerja sanitasi dilakukan untuk mencegah penularan Covid-19 selepas dua termasuk guru sekolah berkenaan disahkan positif.

Susulan itu, semua calon SPM dan pengurusan termasuk kira-kira 40 guru terpaksa menjalani ujian saringan yang diadakan di sekolah berkenaan, semalam.

Sementara itu, Pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali berkata, dua daripada calon SPM disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan Jabatan Kesihatan negeri, semalam.

"Dua pelajar terbabit kini menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit Covid-19 berisiko rendah.

"Saya dimaklumkan Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) Kuala Terengganu keadaan dua pelajar itu stabil," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, hanya 16 calon SPM 2020 terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama selepas mereka masing-masing melaporkan diri mengikuti pembelajaran bersemuka Rabu lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan calon SPM 2020 yang diarahkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka adalah seramai 110 dan hanya 18 calon termasuk 10 lelaki tinggal di asrama.

"Calon lain sudah diarahkan menjalani proses ujian saringan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya yang mengakui turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 1:40 PM
    AZWAN Nazzul (dua kanan) menyerahkan air mineral kepada Fairuddin (kiri) disaksikan Norizah untuk kegunaan calon SPM yang menjalani proses kuarantin di asrama SMK Bukit Besar, di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar
    AZWAN Nazzul (dua kanan) menyerahkan air mineral kepada Fairuddin (kiri) disaksikan Norizah untuk kegunaan calon SPM yang menjalani proses kuarantin di asrama SMK Bukit Besar, di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar