GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Keningau: Seramai 48 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid, di sini, dikuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada seorang guru sekolah itu yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Difahamkan, pelajar terbabit dibawa ke Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau, di sini, untuk menjalani saringan dan kuarantin pada jam 3 petang semalam.

Guru sekolah berkenaan disahkan positif pada hari sama semalam selepas menjalani ujian calitan Covid-19 kelmarin.

Berita mengenai pelajar terbabit dikuarantin tersebar hari ini dan ia disahkan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng.

Flovia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tulid berkata, daripada 48 pelajar terbabit, 29 orang adalah kontak rapat, manakala 19 lagi bukan kontak rapat namun turut diarah menjalani saringan dan kuarantin.

"Mereka mempunyai simptom. Ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen sudah dilakukan terhadap enam pelajar dengan seorang daripada mereka didapati positif Covid-19.

"Pelajar yang positif itu bersama guru terbabit sudah dirujuk ke Hospital Keningau," katanya, di sini.

Flovia berkata, pengurusan SMK Tulid perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, berdasarkan sumber, pelajar sekolah terbabit yang tidak dihantar ke pusat kuarantin tidak dibenarkan meninggalkan asrama selama 10 hari bermula hari ini.

Sebuah trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membawa pelajar terbabit ke IPG Keningau atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Sebelum ini, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mendedahkan seramai 36 pelajar yang kembali ke asrama dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan antara 16 Januari hingga 20 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 10:29 PM