CALON SPM di dewan peperiksaan di SMK Kompleks KLIA, Nilai, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
CALON SPM di dewan peperiksaan di SMK Kompleks KLIA, Nilai, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Nilai: Seramai 543 daripada 16,758 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Negeri Sembilan tidak dapat menduduki peperiksaan itu selepas disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, semua pelajar berkenaan bakal menduduki peperiksaan pada sidang kedua yang berlangsung April ini.

Katanya, pelajar yang positif Covid-19 ini ada yang sedang menjalani kuarantin di asrama dan rumah masing-masing.

"Setakat ini semua sekolah yang terbabit dengan pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa, malah situasi pandemik Covid-19 di sekolah di negeri ini juga adalah dalam keadaan terkawal," katanya pada sidang media selepas melawat perjalanan hari pertama peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengetua SMK Kompleks KLIA, Ajemek Samut.

Md Fiah berkata, daripada jumlah keseluruhan calon berkenaan, seramai 14,871 adalah calon dari sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan manakala 1,887 calon pula dari lain-lain kategori termasuk calon persendirian.

Menurutnya, terdapat tiga calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di hospital kerana terbabit dalam kemalangan dan terjatuh di bilik air serta yang sedang dirawat kerana kanser tulang.

"Kesemua pelajar ini mengambil peperiksaan di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban, di Hospital Chinese Maternity (CMH) Seremban dan di Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 11:40 AM