Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda di sini, diarahkan tutup selepas 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo berkata, kes indeks Kluster Dah Jalan Pantai itu dikesan membabitkan seorang pelajar sekolah yang disahkan positif pada Jumaat lalu.

Menurutnya, setakat ini seramai 61 pelajar sudah disaring dan 33 daripadanya didapati positif.

"Pelajar yang positif Covid-19 sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Jitra dan Kulim, manakala kontak rapat diminta menjalani kuarantin di asrama.

"Warga sekolah yang menjadi kontrak rapat juga sudah diarahkan menjalani kuarantin dan dinasihatkan melakukan saringan sekiranya mempunyai gelaja," katanya ketika dihubungi.

Dr Othman berkata, sekolah terbabit diarahkan tutup sejak semalam sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

"Tarikh pembukaan sekolah akan ditentukan berdasarkan perkembangan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud, Tobiar, disahkan positif Covid-19 membabitkan Kluster Dah Penyarom.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes positif itu mula dikesan selepas terdapat beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:46 PM