BOT APMM mengawal perairan negara melalui Op Benteng. FOTO Hassan Omar
BOT APMM mengawal perairan negara melalui Op Benteng. FOTO Hassan Omar
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak terus memperketatkan kawalan di perairan negeri terutama di tiga lokasi titik panas untuk menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk pelarian Rohingya.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemantauan dibuat di sepanjang perairan negeri dengan penugasan aset secara berkala setiap hari, selain pemantauan Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA).

"Walaupun tiada bot Pati Rohingya dikesan di perairan negeri setakat ini, kami sentiasa memantau perairan bagi menyekat kemasukan Pati apatah lagi dengan situasi semasa di Acheh (laporan mengenai ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia).

"APMM Perak menugaskan dua bot peronda di perairan pesisir pantai dari Tanjung Piandang hingga ke Hutan Melintang yang beroperasi secara berkala setiap hari.

"Selain itu, sebuah bot laju diletakkan dalam mod sentiasa bersedia bagi tugas pintasan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrizan berkata, tiga lokasi di perairan Perak iaitu Hutan Melintang, Pantai Remis dan Lekir dikesan menjadi titik panas laluan masuk dan keluar Pati dari Indonesia secara haram.

Katanya, kedudukan geografi ketiga-tiga lokasi berkenaan yang terbuka dan hampir dengan perairan sempadan menjadi faktor ia terdedah kepada laluan masuk secara haram.

"Perak menjadi lokasi alternatif kerana jika mereka (Pati) tidak berjaya masuk ke Melaka dan Selangor, Perak akan menjadi laluan (untuk masuk ke negara).

"Kami sentiasa memperketatkan kawalan dan maklumat curiga daripada radar SWASLA di Pulau Jarak sering dioptimumkan bagi memastikan sebarang pengesanan yang masuk dari sempadan diperiksa," katanya.

Media hari ini melaporkan, APMM menumpukan pemantauan terhadap semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia, bagi menyekat kemasukan Pati termasuk pelarian Rohingya.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, dilaporkan berkata, sindiket membawa Pati memasuki negara ini disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau dipetik sebagai berkata, antara taktik digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk Pati termasuk pelarian Rohingya, ialah memuatkan mereka dalam bot kecil di kawasan sempadan sebelum dibawa ke daratan.

Pada 26 Januari lalu, media melaporkan, ratusan pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari kem perlindungan sementara di Balai Latihan Kerja (BLK) Lhokseumawe, Acheh untuk memasuki Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:10 PM