MOHD Zubil (kiri) menegaskan pihaknya akan terus melakukan pemantauan terhadap kapal yang membawa pelarian Rohingya.
MOHD Zubil (kiri) menegaskan pihaknya akan terus melakukan pemantauan terhadap kapal yang membawa pelarian Rohingya.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperketatkan kawalan di perairan negera bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk pelarian Rohingya.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya kini melakukan pemantauan terhadap kapal yang membawa pelarian Rohingya.

"Semalam kita terima laporan tentera laut Myanmar menahan kapal yang membawa 228 pelarian Rohingya di perairan Myanmar.

"Setakat ini pemantauan berterusan sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, 228 pelarian Myanmar ditahan di Perairan Myanmar dipercayai dalam cubaan untuk ke negara ketiga.

Sebelum ini, pada tahun lalu kapal yang membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya dikesan berselindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand selepas gagal memasuki perairan negara ini.

Kapal yang dikendalikan sindiket membawa masuk pendatang terbabit sudah berada di perairan Thailand sejak empat bulan lalu selepas bertolak dari Cox Bazar, Bangladesh pada Februari lalu.

Bagaiamanapun kapal berkenaan gagal masuk ke negara ini selepas dikawal ketat pasukan penguatkuasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:35 PM