SERAMAI 81 etnik Rohingya mendarat di pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia, semalam. FOTO Ihsan NTF
SERAMAI 81 etnik Rohingya mendarat di pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia, semalam. FOTO Ihsan NTF
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: National Task Force (NTF) memperketatkan kawalan sempadan negara susulan pendaratan 81 pelarian etnik Rohingya di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas NTF pada kenyataan berkata, media Indonesia melaporkan, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 dewasa dan 11 kanak-kanak.

Pada asalnya, mereka berjumlah 90 orang namun lapan meninggal dunia dan seorang hilang di laut.

"Sebelum ini, NTF menerima dua laporan pergerakan bot dan bot induk Rohingya berlepas dari Kem Cox's Bazar, Bangladesh pada Februari dan April lalu. Kami kemudiannya memantau rapat sebarang pengumpulan maklumat berkaitan.

"Berdasarkan analisis dan risikan semasa, NTF percaya terdapat percanggahan maklumat selepas dibuat penilaian pendaratan terbaharu ini dengan fakta, sejarah, trend serta taktik sindiket penyeludupan migran Rohingya ke perairan Malaysia-Indonesia," katanya hari ini.

Katanya, merujuk kes pendaratan Rohingya pada 2019 hingga 2020, etnik Rohingya dibawa secara runcit ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah daripada sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot induk di perairan antarabangsa.

"Hasil maklumat risikan, NTF percaya, pendaratan di Acheh Timurt menggunakan taktik hampir sama dan masih terdapat sebuah bot induk di perairan antarabangsa yang berkemungkinan melepaskan sebahagian etnik Rohingya untuk mendarat di Acheh Timur dan bakinya menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia.

"Pendaratan di Acheh Timur dilihat sebagai taktik mengaburi yang dilakukan oleh sindiket bagi mengaburi pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa," katanya.

Susulan itu, menurutnya, NTF melalui Operasi Benteng akan meningkatkan kesiagaan dan mengatur gerak aset-aset maritim berdekatan perairan antarabangsa serta pemantauan radar dan aset udara bagi mengesan sebarang pergerakan bot yang mencurigakan.

"NTF juga akan meningkatkan pemantauan berkaitan sebarang cubaan masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang pantai barat Semenanjung.

"NTF tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terbabit dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan warga asing lain ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, tindakan akan diambil mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketatkan kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran selain mengawal penularan Covid-19," katanya.

Maklumat berkaitan kemasukan imigran boleh disalurkan kepada NTF di talian 011-62511223.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 5:16 PM