KESEMUA Pati yang ditahan di Hutan Melintang didapati negatif Covid-19. FOTO IHSAN MINDEF
KESEMUA Pati yang ditahan di Hutan Melintang didapati negatif Covid-19. FOTO IHSAN MINDEF
Noor Hidayah Tanzizi


LIMA pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diselamatkan daripada lemas berhampiran perairan Hutan Melintang, Lumut, selepas bot dinaiki tenggelam, semalam, didapati negatif Covid-19.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, keputusan ujian calitan kelima-lima Pati itu diperoleh hari ini.

"Lima Pati berusia antara 20 hingga 45 tahun yang diselamatkan itu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

"Mereka mendakwa bot berkenaan mengalami kebocoran di bahagian enjin disebabkan pukulan ribut.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan merangkumi punca mereka menyusup masuk secara haram dan mengenal pasti punca kebocoran sama ada sengaja dibocorkan atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, APMM kini dalam proses menghantar pulang lima Pati terbabit kepada Kedutaan Indonesia selepas semua proses selesai.

Menurutnya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan mengukuhkan sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan Pati dan jenayah rentas sempadan.

Semalam, media melaporkan kehadiran bot nelayan asing terbabit dikesan bot Petir 80 milik APMM berhampiran perairan Hutan Melintang yang dalam perjalanan ke Bagan Sungai Burung, Selangor pada 9.05 pagi.

Maklumat mengenai bot itu kemudian disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Malawali bagi tindakan pengusiran, namun bot berkenaan hampir tenggelam akibat kebocoran dan memaksa APMM menyelamatkan semua Pati terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 10:42 PM