Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0. FOTO BERNAMA
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Meningkatkan peranan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang sebagai pusat kesihatan daerah dengan peralatan kesihatan lengkap.

Itu antara beberapa strategi yang disusun kerajaan dan langkah seterusnya jika bilangan pesakit jangkitan Covid-19 di negara ini terus meningkat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, selain inisiatif itu, PKRC juga akan disediakan di setiap negeri mengikut permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan persetujuan sidang Majlis Keselamatan Negara.

"Jika pesakit terus mencatatkan peningkatan, pesakit untuk tahap 1 dan 2 akan dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita juga menjalinkan kerjasama dengan hotel untuk dijadikan pusat kuarantin bagi golongan mampu dan ini juga untuk pesakit tahap 1 dan 2," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa cadangan lagi yang akan diaktifkan apabila tiba waktunya, namun apa yang diharapkan sebenarnya ialah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) akan melegakan keadaan.

Statistik 11.59 malam semalam diperoleh Nadma menunjukkan terdapat 8,000 katil di zon merah PKRC Maeps Serdang iaitu di Dewan A, Dewan B, Dewan C, Dewan DG dan Dewan E.

Daripada jumlah itu, 2,965 digunakan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di zon merah PKRC dan baki katil kosong ialah 5,035.

Jumlah kumulatif pesakit ditempatkan di PKRC Maeps Serdang adalah 24,665 pesakit iaitu kumulatif lelaki membabitkan 22,327 orang dan kumulatif perempuan melibatkan 2,138 orang.

Bilangan kemasukan kes baharu, semalam, adalah 889 kes berbanding 714 discaj semasa manakala jumlah discaj kumulatif adalah seramai 21,304 orang dan tiga dirujuk ke hospital.

Untuk rekod, semalam, Malaysia melaporkan kes Covid-19 harian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 4,029 kes.

Kes dengan catatan ribu harian mula dicatatkan pada 24 Oktober 2020 dan kemudian turun naik antara tiga dan empat angka.

Sepanjang Januari setakat ini kes kekal empat angka manakala bagi Disember lalu hanya pada 2 Disember dan 9 Disember kes di angka tiga digit, selebihnya mencatatkan empat digit kes harian.

Kerajaan melaksanakan semula PKP untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 4:23 PM