ANTARA maklumat di laman web PKRC Maeps
ANTARA maklumat di laman web PKRC Maeps
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 menerusi laman Web yang diaktifkan 1 Julai lalu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, laman sesawang itu, https://www.pkrcmaeps.gov.my/ adalah sumbangan dan ditaja sepenuhnya oleh MYNIC Berhad yang juga antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

"Pembangunan laman sesawang ini bertujuan untuk menyalurkan informasi terkini setempat yang tepat dan sahih mengenai pengoperasian PKRC Bersepadu Maeps 2.0 kepada umum.

"Ia menyediakan panduan kepada pesakit serta waris, menyampaikan maklumat konsisten dan sebagai bahan rujukan pada masa akan datang.

"Pelbagai bentuk infografik dimuat naik dalam laman sesawang ini bagi memudahkan orang awam membuat rujukan sekiranya mereka bakal dikuarantinkan di sini (PKRC Bersepadu Maeps 2.0)," katanya menerusi kenyataannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim pada sidang media mengenai laman sesawang PKRC Bersepadu Maeps 2.0 secara dalam talian, hari ini.

Aminuddin berkata, orang awam boleh mengajukan sebarang soalan atau permasalahan dalam lawan sesawang itu dengan maklum balas akan diberi dalam tempoh 24 jam.

"Perkhidmatan ini dikawal selia oleh petugas dari Maeps Covid Centre KKM (MCCK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertauliah dan berpengalaman mengendalikan pusat khidmat pelanggan.

"Pihak media juga boleh merujuk laman sesawang itu untuk sebarang pengumuman, kenyataan media serta prosedur operasi standard (SOP) terkini membabitkan operasi PKRC ini.

"Dengan penambahan saluran informasi mengenai Covid-19, kami berharap supaya masyarakat akan lebih peka dan membantu kerajaan untuk melandaikan lengkuk graf kes positif Covid-19 di negara ini," katanya.

Sementara itu, Meor Ismail berkata, maklumat yang disediakan dalam laman sesawang itu hanya membabitkan maklumat umum.

"Maklumat yang kami sediakan adalah berkaitan dengan keperluan dan SOP di sini (PKRC Bersepadu Maeps 2.0) sahaja untuk panduan orang ramai sebagai persediaan sekiranya dimasukkan ke pusat ini.

"Data pesakit tidak akan dimuat naik dalam laman sesawang itu dan ia hanya digunakan sebagai maklumat klinikal sahaja," katanya.

PKRC Bersepadu Maeps 2.0 diaktifkan semula pada 6 Disember 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pada awalnya, pengambilan pesakit Covid-19 di pusat berkenaan hanya membabitkan pesakit bukan wargananegara bagi kategori satu (tanpa gejala) dan kategori dua (gejala ringan).

Namun pada 24 Januari lalu, ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu Maeps 2.0 selepas mula menerima pesakit kategori tiga dan empat dengan skala sederhana.

PKRC itu yang kini beroperasi di tujuh dewan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa dan sehingga kini, PKRC MAEPS sudah merawat hampir 120,000 pesakit dalam tempoh tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 11:47 AM