ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak perlu tunjuk hebat dengan menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina bersama.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menegaskan tidak perlu berbuat demikian kerana taksub kepada sesiapa kerana baginya paling utama adalah membela nasib rakyat.

"Ambo (saya) tidak fikir kalau ambo jadi hero ke arah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa. Dalam kawasan kita, ada PAS, ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik-baik daripada tak habis-habis berbalah sesama kita.

"Mungkin cara ambo tak bisa (hebat), tak nampak berani untuk gomo (lawan) sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan.

"Tapi ambo tetap berpegang, orang Islam apabila diuji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan bercerai-berai.

"Kita juga diingatkan jangan ambil musuh nyata (harbi) untuk dijadikan teman yang dipercayai dengan meninggalkan teman sesama kita," katanya menerusi Warkah Kepada Rakyat Parlimen Ketereh yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, apabila pemimpin dipinjamkan kuasa, mereka perlu menggunakannya untuk membela rakyat dan pengundi.

"Maka kepada adik kakak orghe (orang) Parlimen Ketereh, terus bermuafakat bersatu padu. Kita saling bantu-membantu. Insya-Allah kita beroleh rahmat, keberkatan dan jiwa yang tenang," katanya.

Annuar berkata, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pengundi Ketereh memilihnya sebagainya wakil dengan undi melebihi 25,000, sedangkan ahli Umno di Parlimen itu cuma 13,000.

Katanya, amanah yang diberikan bukan kerana beliau hebat, tetapi kerana penduduk mahu dibela dan mahu beliau memajukan kawasan, kampung serta sukakan perpaduan.

"PRU-14, BN kalah... ambo jadi pembangkang. Adik kakak pun ingat bagaimana susahnya kita 22 bulan tanpa peruntukan membantu rakyat.

"Dengan takdir Allah SWT serta berkat sabar adik kakak, kita menjadi kerajaan semula bila Umno dan BN, PAS, Bersatu, parti Sarawak dan Sabah sepakat membentuk kerajaan PN berteraskan pimpinan perpaduan Melayu Islam menggantikan Pakatan Harapan (PH) pimpinan sosialis DAP dan PKR liberal.

"Kawasan kita berubah. Berjuta peruntukan baiki prasarana desa. Pembinaan baru masjid disambung semula. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab dilulus semula, lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai disambung semula, bantuan Covid-19 dah pusingan ketiga untuk 15,000 keluarga, murid sekolah dibantu semula, banyak lagi sedang kita usaha," katanya.

Annuar turut merasakan di saat banjir melanda dan penularan Covid-19 semakin bahaya, perpaduan Melayu makin renggang semula.

"Kita sepatutnya tidak terlalu main politik tapi bekerja untuk rakyat jelata, tolong rakyat dan majukan Kelantan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 2:48 PM