TAN Sri Annuar Musa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TAN Sri Annuar Musa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tan Sri Annuar Musa menasihatkan rakan seperjuangan yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya tidak meninggalkan perjuangan.

Menerusi catatan di Facebook (FB) yang bertajuk 'Warkah Terbuka Buat Sahabat Yang Terluka Atau Kecewa' itu, beliau menasihatkan bahawa perjuangan perlu diteruskan dan jangan 'membakar jambatan' walaupun mendakwa beliau dan rakan senasib diaibkan kerana perjalanan masih panjang.

Presiden Muafakat Nasional (MN) Malaysia itu memberikan kata nasihat bahawa marah jangan dibalas marah, hutang darah tak perlu dibayar darah.

"Kembalilah memimpin anak dan adik-adik kita yang bertatih. Pulihkan jentera yang berduka. Jika tidak berupaya memenangkan, setidaknya jangan mengalahkan. Parti perlu didahulukan.

"Teruskan semangat muafakat dan perpaduan. Tolak keangkuhan dan kesombongan. Jangan jadikan parti perisai badan melindungi kecurangan. Amanah rakyat jangan sia-siakan dan curang.

"Terima seadanya soal pencalonan dengan kesabaran. Rapatkan semula saf dan terus berjuang," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh.

Selain beliau, antara calon yang digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim, Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba, Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique, Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin, Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid.

Nama mereka sah digugurkan dalam pengumuman calon BN oleh Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Isnin.

Terdahulu dalam hantaran lain di FB, Annuar menunjukkan beliau berjiwa besar apabila merestui Marzuani Ardila Ariffin yang dipilih pucuk pimpinan BN untuk mengisi borang pencalonan bagi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh.

Annuar berkata, beliau sentiasa konsisten dengan pendirian supaya Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh itu meneruskan dan menerima keputusan pucuk pimpinan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 11:19 PM