ANNUAR hadir di Pejabat Badan Perhubungan Umno Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR hadir di Pejabat Badan Perhubungan Umno Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan ramai membuat tawaran kepada beliau termasuk Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selepas beliau tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Beliau turut memaklumkan calon PN, Datuk Khlir Mohd Nor yang sehingga kini tidak menerima watikah calon disebabkan tawaran itu diberikan kepada beliau.

"Saya tidak mahu berselindung dan saya mengakui ramai yang tawarkan kerusi kepada saya. Ada tawaran bersyarat dan tidak bersyarat.

"Mereka suka mahu saya terus jadi calon, namun saya berfikir panjang kerana politik adalah larian jarak jauh, ada masa kita laju dan ada masa kita perlahan asalkan tidak keluar padang.

"Namun, selepas beberapa hari tidak tidur dan mengadakan solat istikharah, saya membuat keputusan dengan menolak tawaran berkenaan.

"Saya menjawab secara bertulis mengatakan dalam hidup, saya berpegang dengan polisi dan saya tidak boleh berbuat demikian," katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ramai juga yang menganggap beliau akan membuat kejutan pada hari penamaan calon.

"Saya ada prinsip dan pegangan. Apa yang pasti tiada sebarang kejutan kerana walaupun orang mengajak masuk parti lain, saya tidak mampu berbuat demikian.

"Bagaimanapun, saya berharap segala urusan hari penamaan calon esok berjalan lancar," katanya.

Terdahulu, calon PN Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor mendakwa sehingga saat ini belum menerima watikah perlantikan walaupun hari penamaan akan berlangsung esok.

Beliau berkata, watikah untuk penggunaan logo bulan mewakili parti Pas yang ditandatangani Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya diterima sebaik diumumkan sebagai calon.

Dakwanya lagi, perkara itu menimbulkan rasa pelik dan seolah ada sesuatu yang berlaku di sebaliknya dengan memberi bayangan bakal ada kejutan yang menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:35 PM