Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Marrakesh :'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?'

Ayat 13, Surah Ar Rahman itu cukup menginsafkan penulis terhadap penderitaan dan keperitan hidup dialami mangsa gempa bumi yang menghuni ribuan perkampungan terpencil di sepanjang banjaran pergunungan Atlas di sini.

Cuaca ekstrem panas dan debu kering antara Jun hingga Oktober menjadi cabaran memeritkan hidup mereka.

Keadaan diburukkan lagi apabila ribuan kediaman dihuni runtuh akibat gegaran gempa bumi kuat 8 September lalu, sekali gus meragut hampir 3,000 nyawa penduduk.

Penulis yang menyertai misi kemanusiaan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) sukar membayangkan 'kehidupan keras' dilalui mereka yang hidup pada ketinggian lebih 3,000 meter dari paras laut.

Pada misi bantuan kemanusiaan semalam, cuaca panas mencecah 40 darjah Celcius, hamparan batuan dan pasir gunung selain debu kering melatari kediaman dibina penduduk menggunakan lumpur kering.

Turun ke kaki gunung atau ke bandar berhampiran dianggap hampir mustahil apatah lagi rata-rata mereka tidak memiliki kenderaan.

Laluan panjang berliku di cerun gunung selain kedudukannya jauh di pedalaman tanpa akses sempurna menyebabkan mereka hanya mampu mengalas perut seadanya.

Penduduk dan anak-anak hanya menjamah roti keras 'khobz' bersama minyak zaitun atau 'jben beldi' (keju kambing).

Penulis yang menaiki pacuan empat roda turut berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terlanggar bongkah batu serta gagal melepasi pendakian cerun berpasir.

Akibatnya penulis dan Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail terpaksa keluar dari kenderaan dan menapak untuk sampai ke lokasi penyerahan bantuan di kampung Amazir Berberq.

Kemiskinan dan musibah gempa bumi yang berlaku 8 September lalu antara faktor MCM mengambil keputusan untuk segera mengumpul dana dan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan ini.

Sebanyak 11 kampung terpilih untuk menerima sumbangan pek makanan berkenaan membabitkan pemberian guni berisi tepung gandum, beras, minyak masak, keju, susu, ikan dalam tin, gula, teh dan kekacang. Turut disumbangkan adalah selimut bagi membolehkan penduduk berlindung ketika musim sejuk kelak.

Salah seorang penduduk ditemui, Umar Bachar, 46, berkata, musibah gempa bumi baru-baru ini menambah derita kemiskinan dihadapi terutama apabila musim sejuk bakal menjelang tiba bulan hadapan.

Menurutnya, dia, isteri dan tiga anaknya kini terpaksa berlindung di dalam khemah kanvas sementara kediamannya yang runtuh dibina semula.

"Walaupun kami selamat namun saya bimbang jika anak-anak kecil kami kelaparan. Sumbangan diberikan rakyat Malaysia melalui pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) ini amat besar maknanya.

"Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan dan mengisi perut anak-anak sehingga tempoh sebulan. Saya begitu terharu dan berterima kasih," ujarnya yang bergantung hidup dengan mengembala kambing.

Seorang sukarelawan yang membantu MCM, Abdellah lmariouh, 20, berkata, dia gembira untuk menolong mengagihkan pek makanan kepada beratus keluarga di perkampungan terpilih itu.

Menurutnya, penduduk kampung sekitar Gunung Yiagor di sini, bakal ditenggelami salji tebal tidak lama lagi, sekali gus menghadkan aktiviti ekonomi dan pergerakan penduduk.

"Ini termasuk penduduk kampung Tagadirt yang benar-benar hidup di bawah garis kemiskinan dan perlu dibantu. Wajah gembira penduduk dan kanak-kanak membuatkan saya bersemangat untuk menyertai misi ini," katanya.

Sepanjang program agihan bermula jam 9 pagi semalam sehingga lewat petang itu, rombongan MCM serta sukarelawan pertubuhan kebajikan Alofoq Charity Association diberikan sambutan meriah oleh penduduk.

Mereka dilihat sudah sedia menanti dan berbaris panjang untuk mengambil pek bantuan makanan yang disusun rapi di kawasan lapang disediakan.

Malah, berpuluh kanak-kanak turut dilihat girang apabila diberikan biskut dan makanan ringan.

KANAK- KANAK di kawasan pedalaman pergunungan Atlas gembira apabila menerima makanan ringan dan roti pada program bantuan MCM bersama Pertubuhan Kebajikan Alofoq Charity Association.
KANAK- KANAK di kawasan pedalaman pergunungan Atlas gembira apabila menerima makanan ringan dan roti pada program bantuan MCM bersama Pertubuhan Kebajikan Alofoq Charity Association.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 4:31 PM