Muslim Care Malaysia Society (MCM) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu sejak Ahad lalu.
Muslim Care Malaysia Society (MCM) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu sejak Ahad lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab membantu mangsa banjir di bahu kerajaan.

Ini dibuktikan apabila berpuluh sukarelawan pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (MCM) `turun padang' meredah banjir bagi membantu ribuan mangsa di Kelantan dan Terengganu.

Malah Presiden MCM, Zulkifli Wahijan dan Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar turut bergegas menjalankan misi kemanusiaan di lokasi dilanda banjir di Rantau Panjang, Kelantan dan Besut, Terengganu sejak banjir bermula Ahad lalu.

Usaha murni itu turut mendapat dokongan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dipengerusikan Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta rakan strategik NGO yang lain.

Zulkifli berkata, sumbangan disalurkan itu membabitkan pemberian bantuan makanan siap dimasak dan pek makanan asas kepada mangsa banjir termasuk mereka yang menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Bantuan turut disalurkan kepada pelajar di asrama Maahad Tahfiz sekitar Rantau Panjang yang turut dilanda banjir. Rata-rata mangsa terbabit berdepan masalah kekurangan bekalan makanan kritikal.

"Selain makanan dan bekalan air mineral, MCM turut menyumbangkan pek kebersihan, pek ibadah, tilam, selimut dan tikar kepada mangsa banjir memerlukan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebahagian anggota MCM turut menganjurkan misi `Dapur Rakyat' iaitu memasak makanan berkhasiat untuk dibekalkan khusus kepada kanak-kanak dan warga emas.

"Alhamdulillah sebanyak dua `Dapur Rakyat' beroperasi di Rantau Panjang, Kelantan dan di Besut, Terengganu, walaupun petugas terpaksa memasak dalam keadaan dapur ditenggelami banjir.

"Makanan dimasak diagihkan kepada petugas penyelamat seperti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Zulkifli berkata, rata-rata mangsa terkejut dengan bencana banjir kali ini yang disifatkan antara terburuk berikutan lokasi yang tidak pernah dinaiki air turut ditenggelami banjir.

Kami menyeru orang ramai yang bersimpati turut sama menyumbang untuk kebajikan mangsa banjir.

Sumbangan jariah itu boleh disalurkan melalui capaian inihttps://muslimcaremalaysiasociety.com/ms/kempen/bantuan-kecemasan-banjir atau melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, BANK ISLAM 14014010147470 atau BANK RAKYAT 1101744599 atau menghubungi HOTLINE MCM +60 11 5005 0035.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:30 PM