Pertubuhan Muslim Care Malaysia Society giat mengatur dan menyelaras persediaan bagi membantu mangsa banjir. FOTO Ihsan Muslim Care Malaysia Society
Pertubuhan Muslim Care Malaysia Society giat mengatur dan menyelaras persediaan bagi membantu mangsa banjir. FOTO Ihsan Muslim Care Malaysia Society
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (MCM) giat mengatur dan menyelaras persediaan bagi membantu mangsa banjir susulan kekerapan bencana itu berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Malah pelbagai bentuk bantuan segera disalurkan kepada mangsa banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sejak dua minggu lalu.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, terbaru pihaknya menyertai Mesyuarat Penyelarasan Banjir Kedah bersama Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) serta rakan strategik NGO yang lain.

Menurutnya, YSB tidak asing lagi bagi Muslim Care Malaysia dalam usaha sama membantu masyarakat yang ditimpa bencana termasuk memberi latihan bencana banjir.

"YSB dipengerusikan Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Kerjasama ini turut membabitkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Radio Amatur Kedah, Kelab 4X4 Kedah, Kelab Pengakap Kedah, Malaysian Relief Agency (MRA), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan pelbagai agensi yang turut komited bekerjasama membantu mangsa banjir. Pada mesyuarat itu MCM diwakili Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar," katanya.

SUKARELAWAN  Muslim Care Malaysia Society (MCM) membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia Society (MCM) membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam bencana terbaru di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini, sukarelawan MCM bertindak pantas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar kawasan Masjid Jamek Kampung Alma, Taman Permai Jaya dan Machang Bubuk.

"Malah MCM turut segera menyalurkan bantuan terhadap ratusan mangsa banjir di sekitar Puncak Alam, Meru, Kapar, Klang dan Shah Alam, Selangor sejak Khamis minggu lalu.

"MCM mengagihkan bantuan berbentuk makanan 'ready to eat' serta air mineral buat mangsa banjir.

Dijangkakan hujan lebat akan berterusan terutama di kawasan `hot spot' yang berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang bersimpati terhadap mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, BANK ISLAM 14014010147470 atau BANK RAKYAT 1101744599 atau menghubungi HOTLINE MCM +60 11 5005 0035.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 9:32 AM