Nurul Hidayah dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tiada kluster atau kes positif Covid-19 yang dikesan membabitkan mangsa banjir termasuk dalam kalangan individu dalam pengawasan (PUS) dan pesakit dalam siasatan (PUI) yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebaliknya hanya tiga kes kematian akibat lemas diterima setakat ini.

"Sehingga 5 Januari (semalam), lima negeri dilanda banjir iaitu Selangor, Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.

"Ia membabitkan 23,631 mangsa yang ditempatkan di 297 PPS.

"Namun, tiada kes atau kluster baru dilaporkan membabitkan mangsa banjir termasuk dalam kalangan PUS dan PUI," katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berharap, semua pihak termasuk yang terkesan dengan banjir terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Garis panduan pengurusan banjir sudah dikeluarkan, jadi semua yang terkesan, di daerah mahupun mukim disaran patuh dengan SOP," katanya.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai. FOTO ihsan APM Johor
PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai. FOTO ihsan APM Johor

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:40 PM