Mohd Roji Kawi


Kuching: Paras air yang naik mendadak akibat hujan lebat bertembung air pasang besar malam tadi turut membanjiri dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua PPS berkenaan ialah Dewan Serbaguna Taman Malihah dan Balai Raya Lorong 5i di Taman Desa Wira.

Difahamkan kejadian itu berlaku tengah malam tadi apabila paras air di kebanyakan kawasan rendah di sini, naik mendadak.

"Bagaimanapun, banjir di dua PPS berkenaan sudah surut pagi ini," katanya ketika diminta mengulas kejadian yang berlaku pada malam kedua banjir melanda Sarawak itu.

Ketika kejadian malam tadi, PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah menempatkan 209 mangsa daripada 48 keluarga, manakala Balai Raya Lorong 5i Taman Desa Wira pula 35 mangsa daripada 16 keluarga.

Paras air di beberapa kawasan di Kuching naik mendadak bermula 10 malam tadi dan mulai surut pada 3 pagi.

Bagaimanapun, banjir dikhuatiri melanda lagi malam ini apabila hujan masih berterusan dan air pasang besar mencecah ketinggian 6 meter dijangka berlaku mulai lewat petang ini.

PPS Dewan Masyarakat Taman Malihah dinaiki air. FOTO ihsan JPBN
PPS Dewan Masyarakat Taman Malihah dinaiki air. FOTO ihsan JPBN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 1:02 PM