SYUKRIAH (dua dari kanan) menjadi antara jemaah pertama haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci dari KLIA semalam. FOTO Samadi Ahmad
SYUKRIAH (dua dari kanan) menjadi antara jemaah pertama haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci dari KLIA semalam. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Dipilih mengerjakan ibadat haji pada usia muda dianggap sebagai rahmat daripada Allah SWT, kata jemaah haji Malaysia penerbangan pertama, Nur Syukriyah Kamarudin dari Tumpat, Kelantan.

Syukriyah, 22, yang juga lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berkata, tawaran diterima itu tidak akan disia-siakan memandangkan dia berimpian sejak lama untuk menunaikan ibadat berkenaan.

Katanya, wang belanja menunaikan haji pula hasil tabungan serta sumbangan keluarga.

Menurutnya, dengan kudrat yang masih kuat dan kesihatan yang baik pastinya membolehkan jemaah haji muda dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.

"Sebelum ini, kami pernah tiga kali ditawarkan untuk mengerjakan haji namun ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih belajar pada 2019 dan masalah kesihatan bapa pada 2022," katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dia berlepas ke Tanah Suci Makkah jam 12.05 tengah malam, dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines 8050 bersama bapa, Kamarudin Abd Aziz, 60, yang juga pesara, ibunya, Che Razimah Hamzah, 58, dan kakak, Nur Hanini, 32.

Sementara itu, bagi Mirza Hafizi Mazlan, 24, dari Berek 12, Kota Bharu, Kelantan, dia bersyukur berpeluang mengerjakan haji di usia muda bersama ibu bapanya.

Bagaimanapun, dia agak sedih kerana dua ahli keluarga tidak dapat bersama menunaikan haji.

Katanya, mereka sekeluarga ditawarkan mengerjakan haji namun abangnya, Muizuddin Afif, perlu menjaga isteri yang bakal melahirkan cahaya mata manakala adiknya, Myza Maisarah pula masih belajar.

Katanya yang masih bujang dan bertugas sebagai pembantu perunding di sebuah syarikat di Subang Jaya, Selangor berkata, sejak kecil dia mengimpikan untuk menunaikan ibadat haji dan mula menabung menerusi duit raya sumbangan keluarga serta kenalan.

"Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Allah SWT. Saya berdoa supaya mendapat haji mabrur, dibukakan pintu rezeki serta diberi kesihatan yang baik berpanjangan bagi berbakti kepada ibu bapa," katanya.

Mirza Hafizi berlepas bersama bapanya yang juga pesara guru, Mazlan Mahmood, 61, ibunya yang juga pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Radziah Che Mohd Yusoff, 56, dan kakak, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Marsya Aida, 27.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 11:11 AM