Keadaan dapur premis makanan yang kotor dan menjijikkan diarahkan tutup. FOTO ihsan DBKL
Keadaan dapur premis makanan yang kotor dan menjijikkan diarahkan tutup. FOTO ihsan DBKL
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Keadaan sebuah premis makanan dalam keadaan menjijikkan dan meloyakan diarah tutup selepas diperiksa dalam Operasi Bersepadu Bersih di sekitar ibu negara di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, sebanyak 88 premis diperiksa di Mid Valley Megamall, Jalan Hujan Emas, Jalan Hujan Rahmat, Jalan Metro Pudu, Mitshui Shopping Park Lalaport dan Sunway Putra Mall.

"Berdasarkan hasil pemeriksaan itu, sebuah premis dikenakan tindakan arahan penutupan mengikut Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 69 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut DBKL, pelbagai kesalahan yang dikesan membabitkan aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis.

"DBKL akan meneruskan tindakan seumpama ini bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 11:37 AM