BANGKAI harimau belang dan harimau kumbang serta sepuluh gading gajah yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, Kampung Ipoh, Tanah Merah. FOTO Arkib NSTP
BANGKAI harimau belang dan harimau kumbang serta sepuluh gading gajah yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, Kampung Ipoh, Tanah Merah. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia mendesak hukuman sebat dikenakan terhadap penjenayah yang membunuh haiwan liar dan pemburu haram yang melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan Malaysia (MyAct) Arie Dwi Andika berkata, semalam negara dikejutkan dengan tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun yang memangsakan spesis Harimau Malaya dan seekor harimau kumbang melalui pembunuhan kejam secara pemburuan haram.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa Harimau Malaya adalah spesis hidupan liar terancam dan mengalami kepupusan dengan jumlah populasi di bawah angka 200 ekor.

"Dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 10 bahagian hidupan liar disyaki gading gajah, dua bangkai hidupan liar disyaki seekor Harimau Malaya dan seekor harimau kumbang dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah premis di daerah Tanah Merah, Kelantan.

"Suspek juga tidak mempunyai sebarang permit dan kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk menyimpan barang anggota badan dan bahagian haiwan liar," katanya.

Arie Dwi berkata, justeru, melalui pihak berkuasa Perhilitan digesa tidak lagi berkompromi terhadap hukuman untuk pelaku pembunuh hidupan liar yang dikelaskan dalam Jadual Kedua Akta Perhilitan 716 ini lagi.

"Animal Malaysia mendesak supaya Perhilitan mempertimbangkan pindaan undang-undang terhadap Akta 716 dengan memasukkan hukuman lebih berat iaitu sebatan terhadap penjenayah pembunuh dan pemburu haram haiwan liar yang dikelaskan dalam jadual kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Ini kerana pembunuhan haiwan dalam kategori jadual kedua benar-benar merugikan negara dan pemburu haram yang merompak khazanah negara yang amat berharga ini adalah pengkhianat negara yang harus diberi pengajaran," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan polis merampas bangkai dua harimau spesis belang dan kumbang serta 10 gading gajah dianggarkan bernilai RM500,000 yang cuba dijual untuk pasaran gelap.

Berita berkaitan

Polis rampas bangkai harimau, gading gajah bernilai RM500,000 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 3:46 PM