SUSPEK diberkas pihak Perhilitan dan VAT 69 selepas dikesan menjalankan kegiatan memburu harimau kumbang
SUSPEK diberkas pihak Perhilitan dan VAT 69 selepas dikesan menjalankan kegiatan memburu harimau kumbang
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bukan calang-calang pemburu haram apabila seorang lelaki tempatan dikesan menjalankan kegiatan menjerat harimau kumbang.

Tindakan itu luar dari kebiasaan apabila rata-rata pemburu haram tempatan hanya menjerat napuh, unggas atau babi hutan.

Suspek berusia 40-an diberkas menerusi operasi Ops Kumbang dilakukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia bersama sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi dilakukan jam 4 petang kelmarin di kawasan kebun getah di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Katanya, operasi diadakan susulan maklumat berhubung penjualan hidupan liar dilindungi secara haram.

"Dalam operasi itu, dua pegawai penguatkuasa Perhilitan dibantu 12 pegawai serta anggota Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 menjalankan pemeriksaan di kawasan kebun getah berkenaan.

"Seorang lelaki tempatan berasal dari Kota Bharu, Kelantan ditahan untuk siasatan sebelum pemeriksaan menemui seekor harimau kumbang.

"Harimau kumbang itu dipercayai dijerat ditemui masih hidup di dalam perangkap besi," katanya.

Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram selain gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.

"Susulan itu suspek diberkas dan siasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 ( Akta 716).

"Dia dibawa ke Balai Polis Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk siasatan.

"Haiwan dan sangkar disita dianggarkan bernilai lebih RM200,000. Saya meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung pemilikan atau aktiviti memburu hidupan liar dilindungi supaya menghubungi Perhilitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 7:00 AM