LAPORAN portal berita Harian Metro semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) perlu lebih berhati-hati dalam menangani masalah pemburu haram memandangkan kecanggihan senjata digunakan kumpulan berkenaan.

Timbalan Pengarah PERHILITAN Perak Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, kecanggihan senjata digunakan kumpulan pemburu haram yang diberkas Ahad lalu membuatkan pihaknya perlu menjalinkan kerjasama dengan polis untuk menangani kegiatan itu.

Katanya, perkara itu akan menyebabkan pihaknya perlu mengambil masa untuk mengenalpasti secara terperinci kegiatan pemburuan yang berlaku atas faktor keselamatan sebelum tindakan seterusnya dilakukan untuk menahan kumpulan terbabit.

“Kami sentiasa melakukan penguatkuasaan secara berterusan di negeri ini terutama di lokasi dipercayai menjadi tumpuan pemburu haram seperti di Gerik yang mempunyai kawasan hutan luas.

"Langkah penguat kuasaan sentiasa dijalankan secara berterusan oleh PERHILITAN, namun kami perlu menjalinkan kerjasama dengan polis kerana pemburu haram kini menggunakan senjata begitu canggih," katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

NSTP semalam melaporkan sekurang-kurangnya 20 ekor gajah di hutan di Gerik dipercaya sudah dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki berusia 40 hingga 49 tahun sejak sembilan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dalam sidang medianya semalam berkata, empat lelaki itu ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama PERHILITAN bermula Sabtu sehingga semalam.

Keempat-empat lelaki itu ditahan berasingan di beberapa lokasi di Gerik dan hasil penahanan itu berjaya menemui bangkai seekor gajah yang dibunuh kumpulan itu di Hutan Piah di Gerik selepas gadingnya sudah diambil untuk dijual.

Hasil penahanan keempat-empat suspek, polis merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458,lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin tidak menolak kemungkinan masih wujudnya kegiatan pemburuan haram walaupun tertumpasnya sindiket didalangi empat lelaki itu.

"Kami tidak tolak kemungkinan masih ada kegiatan pemburuan haram ini dengan mensasarkan hidupan liar seperti gajah yang mempunyai gading, namun semuanya masih dalam siasatan,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Pemburu bunuh 20 gajah'

Empat lelaki ditahan, senapang dirampas?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:38 PM