GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen bank bagi memohon tender Kementerian Kesihatan pada 2018.

Tertuduh, Naim Arshad, 33, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa secara curang menggunakan dokumen penyata bank syarikat Paradigm Energy Sdn Bhd bagi memohon tender Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) Kementerian Kesihatan di Kedah pada 23 Julai 2018.

Berikutan itu, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yunos Syariff.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 beserta seorang penjamin dan diarah menyerahkan dokumen perjalanan serta perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjara Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Murtazadi menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 1:16 PM