FONG Chin Lon, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. FOTO IHSAN AADK
FONG Chin Lon, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. FOTO IHSAN AADK
Oleh Noorazura Abdul Rahman


MAHKAMAH Sesyen di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 ke atas seorang penganggur yang didapati bersalah merasuah pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, dua tahun lalu.

Fong Chin Lon, 46, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atasnya yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam van Toyota Hiace di hadapan Masjid Zahir di sini, jam 1.10 pagi, 10 Ogos 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Murtazadi turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 gagal membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 4:31 PM