GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Alor Setar: Seorang pegawai dan dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM11,800, Julai lalu.

Tertuduh, Inspektor Mohamad Saidy Sakah, Koperal Mohd Asyraf Mustafa dan Koperal Muhammad Noor Firdaus Zainal, ketiga-tiganya 33 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah mendapatkan untuk diri mereka wang tunai RM7,800 dan RM4,000 daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Mereka dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di hadapan restoran KFC Titi Gajah dalam Daerah Kota Setar dekat sini, pada 8.30 malam, 16 Julai lalu dan di hadapan kedai makanan berdekatan Medan Selera Pumpong di sini, pada 3.30 petang, 7 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala, semua tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Hakim membenarkan semua tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu diikat jamin RM15,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin.

Semua tertuduh turut diperintahkan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga perbicaraan selesai serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 2 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 2:40 PM