GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seorang Penolong Penguasa Penjara di Penjara Koreksional Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan rasuah bagi menukar kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) kepada kesalahan lebih ringan pada 2016.

Tertuduh, Zaharil Effendy Zaharuddin, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 61 tahun sebagai dorongan menukar kesalahan Seksyen 39B ADB ke kesalahan seksyen lebih ringan ke atas seorang tahanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Pantai Chenang, Langkawi, pada 12 tengah malam, 12 Mei 2016.

Bagi pertuduhan kedua sehingga keempat, tertuduh didakwa menerima wang suapan secara berperingkat sebanyak RM1,300 pada 22 Mei 2016, RM700 pada 23 Mei 2016 dan RM1,000 pada 25 Julai 2016 melalui akaun simpanan bank milik isteri serta adik iparnya.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mohd Khairul meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin berikutan tertuduh masih mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan empat anak berusia tiga hingga 13 tahun.

Murtazadi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi semua pertuduhan dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Zaharil kemudian membayar wang jaminan terbabit dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 2:56 PM