Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan bagi meningkatkan kerjasama awam dan swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan serta antarabangsa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini antara usaha yang akan dilaksana menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Beliau berkata, pembangunan industri pelancongan berasaskan teknologi digital juga penting bagi memastikan objektif DPN 2020-2030 dapat dicapai.

"Kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi sub-sektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

"Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran DPN 2020-2030 yang berlangsung secara maya, hari ini.

Muhyiddin berkata, DPN dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, penting untuk mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan.

"Matlamat kita adalah untuk menjenamakan Malaysia sebagai 'Top of The Mind Ecotourism Destination of the World'. Saya yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

"Selain menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan pembangunan produk pelancongan sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif seperti yang dinyatakan dalam DPN," katanya.

Katanya, usaha ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kerajaan sedar negara memerlukan hala tuju dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan ini.

"Kita mampu menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

"Ini akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 10:35 AM